KUANTAN: Perlawanan pembukaan Pesta Bola Merdeka 2013
menyaksikan skuad Malaysia yang dibarisi pemain-pemain Harimau Muda A
berjaya mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas pasukan Singapura pada
aksi di Stadium Darul Makmur, Sabtu.
Bermain dalam keadaan padang basah selepas hujan lebat sejak pukul 4
petang tidak menjadi penghalang skuad negara mendominasikan permainan.
Skuad Singapura yang dibimbing V.Sundram Moorthy dilihat lebih
menggunakan corak bertahan memandangkan keadaan padang yang licin.
Dalam pada itu, percubaan Mohd Irfan Fazail pada minit ke-15 nyaris
menewaskan penjaga gol Singapura, Rudy Khairullah Adi Negara.
Penyerang negara, Wan Zack Haikal turut melakukan beberapa percubaan
berbahaya ke arah gawang lawan dengan gerakan lincah, namun dihalang
barisan pertahanan Singapura.
Kedua-dua pasukan mengikat kedudukan tanpa jaringan pada babak pertama.
Gagal mencuri sebarang mata pada separuh pertama, skuad kendalian Ong
Kim Swee ini bangkit mengatur strategi baru yang lebih pentas sekaligus
menyaksikan tendangan Thamil Arasu tepat ke arah gol hasil bantuan
Junior Eldstal pada minit ke-46.
Walaupun hujan renyai-renyai, babak kedua permainan semakin rancak
daripada dua-dua belah pasukan, namun peluang menambah gol lebih
berpihak kepada skuad negara.
Namun agak malang bagi pasukan negara selepas mensia-siakan peluang
untuk menambah satu lagi jaringan gagal dilaksanakan apabila sepakan
penalti yang dilakukan oleh Wan Zack Haikal terlalu perlahan menuju ke
arah penjaga gol.
Sepakan penalti tersebut diberikan kepada skuad Malaysia selepas
pemain Singapura, Muhammad Afiq Yunos (m-54) menggunakan tangan untuk
menyelamatkan bola yang ditanduk Mohd Fadhli Mohd Shas di depan pintu
gol sekaligus dia dilayangkan kad merah.
Biarpun hanya tinggal sepuluh pemain, skuad Singapura tidak memberi
laluan mudah kepada Harimau Muda A walaupun serangan demi serangan
dilancarkan.
Aksi mantap penjaga gol lawan, Rudy menyekat impian skuad negara untuk menambah jaringan.
Sehingga tamat permainan, keputusan kekal 1-0.
Skuad negara bakal berdepan dengan pasukan Thailand pada Isnin ini.
SENARAI PEMAIN:
Malaysia:
Reuben Thayaparan, Mohd Fadhli Sha, Saarvindran A/L Devandran, Mohd
Irfan Fazail, Muhammad Ferris Danial, Thamil Arasu Ambumamee, Wan Zack
Haikal Wan Noor, S. Sivanesan, Putera Nadher Amarhan, Mohd Zubir Mohd
Azmi, Nik Mohd Sharul Azim, Mohd Izham Tarmizi.
Singapura:
Muhammad AfiqYunos, Madhu M Mohana, Quak Jun Yi, Muhammad Hafiz Abu
Sujad, Muhammad Fazli Ayob, Sheikh Abdul Hadi SH Othman, Muhammad
Zulfahmi MD Ariffin, Muhammad Syafiq MD Zainal, Muhammad Aqhari
Abdullah, Muhd Izzudin Shafiq Yacob, Muhammad Syazwan Buhari.
Posted By ----
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment