Pages

Sunday, 4 August 2013

Harapan Tuah Guangzhou

GUANGZHOU - Mungkin ramai yang mempunyai persepsi China tidak pernah melayan Malaysia dengan 'mesra' dalam mana-mana kejohanan badminton, namun jurulatih perseorangan kebangsaan, Tey Seu Bock percaya Guangzhou sering menjadi gelanggang bertuah buat pemain negara.
Enam tahun lalu, Wong Mew Choo melakar sejarah apabila muncul juara perseorangan wanita Terbuka China di Gimnasium Tianhe, gelanggang yang bakal menyaksikan suaminya, Datuk Lee Chong Wei memburu kejuaraan dunia buat kali pertama tahun ini.

Pada 2002, Seu Bock membawa Wong Choong Hann menjuarai gelaran perseorangan lelaki di tempat yang sama, sebelum membantu pemain itu muncul naib juara pada tahun berikutnya.
Malah, di venue yang sama juga, Malaysia pernah mengejutkan China 3-1 pada separuh akhir Piala Thomas 2002, sebelum kita akhirnya kalah 2-3 kepada Indonesia dalam perebutan gelaran.

Walaupun Gimnasium Tianhe tidak menghadiahkan pingat emas buat badminton pada Sukan Asia 2010, namun Chong Wei dan beregu utama, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong masing-masing berjaya melangkah ke final untuk membawa pulang perak.

"Mungkin ramai yang melihat China sebagai gelanggang yang amat sukar untuk ditawan oleh pemain Malaysia setiap kali mereka menjadi tuan rumah kejohanan utama, tetapi detik hati saya berkata, Guangzhou adalah berbeza dan mampu menjadi gelanggang bertuah buat Malaysia.
"Saya masih ingat bagaimana saya membantu Choong Hann muncul juara Terbuka China pada 2002, malah Mew Choo juga melakar sejarah badminton negara dengan merangkul kejuaraan perseorangan wanita di sini.

"Saya tidak percaya kepada psikologi atau apa saja 'perang' yang dikatakan cuba dilakukan oleh China terhadap pemain kita, pada saya.. mereka (pemain Malaysia) menerima keadaan di sini dengan baik dan semua berjalan bagus," kata Seu Bock ketika ditemui pada sesi latihan pertama skuad badminton negara di gelanggang pertandingan di sini, semalam.

Semalam, hari pertama latihan Malaysia di Gimnasium Tianhe bermula dengan kurang menggembirakan, apabila kita mengalami kekurangan gelanggang latihan kerana tiga gelanggang terpaksa dikongsi bersama 22 pemain.

Begitupun, keadaan menjadi bertambah baik tidak sampai setengah jam selepas pemain-pemain negara memulakan latihan kerana jurulatih berjaya mengatur sesi latihan selama satu jam setengah dengan cukup baik, sekali gus memberi peluang kepada semua pemain menguji gelanggang dengan secukupnya.

"Saya tidak pernah muncul juara di gelanggang ini, pencapaian terbaik saya selama ini sekadar final (naib juara Terbuka China 2007 dan Sukan Asia 2010), jadi saya harap saya dapat memenuhi impian saya untuk bergelar juara dunia di sini, kali ini," ujar Chong Wei.
Chong Wei akan menentang Scott Evans dari Ireland pada pusingan pertama, esok sebelum berehat pada Selasa dan hanya kembali ke gelanggang pada Rabu untuk berdepan pemain Indonesia, Dionysius Hayom Rumbaka. - UTUSAN


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...